MOHD AZLAN BIN NORDIN
(D20191089958)
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)
Pusat Sumber Sekolah merupakan satu tempat menjalankan aktiviti yang menuju ke arah melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Ia merupakan satu konsep yang banyak menumpukan kepada pengurusan yang sistematik, berpusat dan menyeluruh yang dapat memberi faedah dan perkhidmatan yang maksima kepada guru-guru dan pelajar.Pusat sumber sekolah berfungsi sebagai pengumpul, penyusun dan penyimpan maklumat dalam satu sistem yang senang difahami dan mudah dikesan. Pusat Sumber Sekolah juga bertindak sebagai penyebar bahan-bahan maklumat dengan cepat dan segera apabila diperlukan. Pusat sumber adalah sebagai satu sistem perkhidmatan yang membolehkan semua pihak di peringkat sekolah mencapai matlamat-matlamat kurikulum. Fenomena ini akan menggalakkan perkembangan intelektual, rohani, emosi dan jasmani yang seimbang.
PENDAHULUAN
Pusat Sumber Sekolah (PSS) merupakan agensi yang penting dalam institusi sekolah yang menyediakan pelbagai bahan, khidmat dan kemudahan pengajaran serta pembelajaran. Sesebuah pusat sumber memerlukan pengurusan yang cekap dan sistematik. Pembentukannya adalah dengan tenaga dan daya usaha semua guru dan tidak seharusnya dipikul oleh guru pusat sumber sekolah sahaja. Setiap guru seharusnya mempunyai pengetahuan tentang pusat sumber sekolah agar dapat memberikan sumbangan kepada kemajuan pusat sumber sekolahnya.
KONSEP PUSAT SUMBER SEKOLAH
Pusat Sumber Sekolah merupakan tempat yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Pusat sumber sekolah biasanya dilengkapi dengan pelbagai jenis bahan yang bertujuan menambahkan maklumat semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Pusat Sumber Sekolah juga merupakan satu sistem perkhidmatan untuk membolehkan pihak sekolah mencapai matlamat-matlamat kurikulumnya.
PERANAN PUSAT SUMBER SEKOLAH
Pusat sumber sekolah adalah pengembangan dari perpustakaan sekolah sebagai tempat untuk koleksi bahan cetak serta memberi tafsiran kepada peranannya yang lebih luas dengan pelbagai bahan secara keseluruhannya :
Pusat Sumber Sekolah adalah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan serta koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran yang diurus secara sistematik.
Pusat Sumber Sekolah menyediakan maklumat, perkhidmatan dan peluang bagi memperkukuhkan pengajaran-pembelajaran untuk pengusaan kemahiran asas serta kemahiran maklumat pendidikan ke arah pembentukan masyarakat berbudaya ilmu, gemar membaca dan berkemahiran belajar sepanjang hayat.
Peranan ini perlu dimainkan oleh guru Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan memastikan ianya dijalankan dengan sebaik yang mungkin. Guru Pusat Sumber Sekolah (PSS) boleh dibantu oleh guru-guru yang lain bagi menjalankan peranan ini. Penubuhan ahli jawatankuasa perlu dibuat bagi membantu guru Pusat Sumber Sekolah (PSS) menjalankan aktiviti yang dirancang.
No comments:
Post a Comment