Wednesday, July 15, 2020

PENGURUSAN PEMBELAJARAN

MOHD AZLAN BIN NORDIN
(D20191089958)
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)

PENGENALAN

Pengurusan Pembelajaran merupakan bidang pengurusan yang paling utama dalam arena pendidikan. Bidang ini memberi impak yang besar bagi sesebuah institusi pendidikan dalam melaksanakan tanggungjawab organisasi sekolah untuk mencapai prestasi cemerlang dalam aspek akademik pelajar. Pengurusan pembelajaran adalah proses merancang pengajaran dan pembelajaran agar mencapai matlamat, menentukan atau memberi garis panduan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh guru, menentukan mata pelajaran yang diajar guru mengikut kepakaran, memimpin dan memberi inspirasi kepada guru dan mengawal aktiviti serta memantau pelaksanaan agar ianya berjalan sebagaimana yang dirancang.

DEFINISI

Pengurusan bermaksud proses merancang, pengorganisasian, memimpin dan mengawal usaha-usaha ahli organisasi secara cekap dan berkesan bagi mencapai matlamat organisasi. Dalam dunia yang serba moden ini, aspek pengurusan adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan dari manusia. Pengurusan merupakan satu proses sosial selaras dengan perkembangan manusia dan komuniti di sekelilingnya. Pengurusan dikaitkan dari pengurusan sebuah keluarga, komuniti atau organisasi hinggalah kepada pengurusan sebuah negara.Pengurusan sering dikaitkan dengan pentadbiran dan apabila memperkatakan tentang konsep pengurusan pasti mencakupi 3 elemen utama iaitu pengurus, organisasi dan tatacara atau garis panduan pengurusan.Ketiga-tiga elemen ini bergantung antara satu sama lain dan mempunyai hubungkait yang seimbang.

Menurut Harold Koontz (1972) mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui dan bersama orang lain di dalam suatu kumpulan yang sengaja diadakan.Selain itu,menurut Mary Parker Follet (1995) seorang pelopor pengurusan klasik mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui sumbangan orang lain.

Menurut perspektif Islam, pengurusan ditakrifkan sebagai satu proses melakukan kerja dan menyempurnakan kerja melalui fungsi- fungsi pengurusan secara fitrah melalui dan bersama orang lain dalam usaha mencapai objektif kerja secara berkesan dan menggunakan sumber- sumber organisasi dengan cekap dalam persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah-ubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment