Thursday, July 16, 2020

BAHAN DAN PERKAKASAN YANG TERDAPAT DALAM PUSAT SUMBER

MOHD AZLAN BIN NORDIN
(D20191089958)
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)

Pusat sumber merupakan tempat utama yang digunakan oleh guru mahupun pelajar-pelajar. Selain itu, bahan rujukan seperti buku ilmiah, bahan dan perkakasan juga merupakan sumber yang boleh kita dapati di setiap pusat sumber sekolah. Oleh itu, bahan-bahan yang terdapat di pusat sumber merupakan alat yang penting untuk melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sumber-sumber yang terdapat di pusat sumber sekolah dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu hardware dan software.
    Bagi sumber software terbahagi kepada dua iaitu bahan cetak dan bahan bukan cetak. Bahan cetak merujuk kepada bahan yang diterbitkan dalam bentuk buku, bahan khusus, dan terbitan berkala. Kebiasaannya, bahan bercetak ini boleh didapati di perpustakaan. Bahan bercetak biasanya menjadi bahan rujukan utama di mana-mana pusat sumber sekolah. Hal ini demikian kerana, pelajar-pelajar akan merujuk sesuatu bahan ilmiah untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Bahan bercetak bukan sahaja tertumpu kepada buku-buku ilmiah tetapi majalah, surat khabar dan jurnal juga merupakan bahan bercetak yang boleh didapati di pusat sumber sekolah.
    Manakala, bagi sumber bahan bukan bercetak pula ialah perkakasan, perisian, carta, permainan, audio, bahan tiga segi, dan lain-lain. Bagi bahan perkakasan ini kebiasaannya boleh didapati di makmal sains, stor penyimpanan alatan sukan, bilik seni dan sebagainya. Perkakasan merujuk kepada komponen-komponen yang kebiasaannya digunakan dalam makmal ataupun bengkel. Contohnya, bagi subjek Sains, perkakasan yang biasa digunakan ialah bikar, termometer, stateskop, dan sebagainya. Manakala, bagi subjek Kemahiran hidup pula, kebanyakkan perkakasan disimpan di bengkel.
    Selain itu, video dan audio pula boleh dimainkan atau dipaparkan di Bilik Alat Pandang Dengar (APD) dan makmal komputer. Dalam setiap bilik darjah di sekolah terdapat “projector” yang disediakan untuk menayangkan video atau audio. Dengan adanya alatan tersebut, sedikit sebanyak dapat membantu pelajar untuk mengingati sebanyak 50% apa yang mereka dengar dan lihat. Perubahan teknologi yang lebih moden dalam pendidikan dapat membantu meningkatkan lagi prestasi dan minat pelajar untuk belajar keranan sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan sesuai dengan peredaran zaman.
    Sehubungan dengan itu, bahan-bahan yang disediakan di pusat sumber secara tidak langsung dapat membantu memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran seterusnya dapat menjimatkan masa. Oleh itu, guru-guru bukan sahaja bergantung kepada bahan bercetak seperti buku ilmiah semata-mata untuk mengajar tetapi juga boleh menggunakan sumber-sumber lain yang disediakan di pusat sumber sekolah untuk mengembangkan dan menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajar. Dengan ini, melalui bantuan sumber-sumber tersebut sesi pengajaran dan pembelajaran dapat membantu pelajar untuk lebih memahami subjek-subjek yang diajar kerana mereka dapat menjalankan amali di dalam kelas di mana guru mengajar sambil menunjukkan cara bagaimana mahu melakukan tugasan tersebut.

No comments:

Post a Comment